CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 19, 2008


Ingatan untuk gadis-gadis yang manis


Monday, March 17, 2008

KUDA KEPANG lagi...

KUDA KEPANG
SEJARAH PERMAINAN KUDA KEPANG
Permainan kuda kepang merupakan salah satu permainan rakyat di negara ini. Jika di negeri Pantai Timur Semenanjung terkenal dengan permainan wau dan wayang kulit, kuda kepang pula mendapat tempat di hati rakyat Johor. Kehalusan seninya begitu terpelihara walaupun arus kemodenan begitu ketara dalam beberapa aspek kebudayaan.
Salah seorang pencinta permainan ini di Pt. Kemang Muar ialah En.Margono bin Hj. Anuar atau lebih mesra dipanggil "Wak Gono". Beliau sudah lama berkecimpung dalam permainan kuda kepang tetapi faktor usia menyebabkan beliau terpaksa melupakan permainan ini. Permainan kuda kepang disebarkan kepada rakan-rakan serta orang-orang kampung dan hingga kini di Kampung Parit Kemang sudah mempunyai sebuah persatuan "Persatuan Kuda Kepang Pt. Kemang Muar". Menceritakan sejarah awal, beliau yang kini berusia 80 tahun menyatakan kuda kepang berasal dari Tanah Jawa Indonesia dan telah dibawa ke Tanah Melayu oleh rakyat Indonesia yang berhijrah ke negara ini. Pada mulanya ia hanya permainan biasa seperti "Sepak Raga". Namun sambutan dari penduduk tempatan menyebabkan ia berkembang dari sebuah kampung ke sebuah kampung.
Pada zaman sekarang, permainan kuda kepang dimainkan di majlis perkahwinan atau sesuatu majlis keramaian. Pemain kuda kepang memerlukan sekurang-kurangnya 25 orang dimana 9 orang menari, 5 orang pemain muzik, 15 orang penjaga kawasan dan dua orang bertindak sebagai "Bomoh Pemulih". Bagaimanapun dalam sesuatu persatuan jumlah ahlinya adalah seramai 40 orang. Seorang daripada penari-penari itu bertindak sebagai pemimpin yang dipanggil "Danyang". Pakaian permainan pula biasanya seragam.
Peralatan Kuda Kepang
Peralatan yang diperlukan untuk permainan kuda kepang ialah alat muzik yang terdiri daripada 5 buah Angklung. Angklung diperbuat daripada buluh dan rotan yang boleh didapati daripada kawasan persekitaran. Angklung bersaiz segiempat dan ianya dimainkan dengan cara menggoyang dan menggoncang buluh tersebut. Bagi buluh yang kecil, apabila diketuk akan mengeluarkan bunyi nyaring, manakala buluh yang besar akan mengeluarkan bunyi bergema dan dari kombinasi kedua-dua bunyi ini akan menghasilkan bunyi yang indah dan menarik.
Perkakas lain yang digunakan ialah sebuah gendang. Gendang ini diperbuat daripada kayu Leban dan kulitnya dari kulit lembu. Kulit lembu diperoleh dari saki baki kulit lembu yang dikorbankan semasa Hari Raya Haji. Kulit lembu ini dikeringkan. Sementara pengikatnya diperbuat daripada rotan. Gendang mempunyai panjang diameter lebih kurang 3 kaki. Gendang ini dipalu mengikut irama yang tertentu.
Perkakas lain yang digunakan ialah pecut. Pecut diperbuat daripada buluh dan tali. Kedua-duanya dipintal menjadi satu. Fungsi Pecut adalah untuk mengarah dan mengawal permainan atau penari kuda kepang.
Perkakas terpenting ialah kuda-kuda. Ianya diperbuat daripada kulit lembu. Dibentuk menyerupai kuda dan diwarnakan merah,putih atau kelabu.
Selain itu perkakas lain ialah tali sepanjang 30 meter. Tali sepanjang ini digunakan untuk dibuat pagar bagi mengelak penari kuda kepang yang mabuk berkeliaran dan mudah untuk bomoh mengawalnya. Alat-alat lain ialah gong. Gong apabila dipalu akan mengeluarkan bunyi "goooong" dan meyedapkan lagi bunyi muzik pengiring.
Pantang Larang Ketika Pemainan
Pantang larang dalam permainan kuda kepang ialah pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang mabuk kerana ditakuti akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal.
Namun pantang larang yang utama ialah tidak boleh melihat kain berwarna merah kerana ia adalah pantang larang semulajadi. Selain itu tidak boleh terlihat atau melihat kaca atau serpihannya kerana ditakuti akan dimakan oleh pemain.
Apabila muzik mula bergema, masuklah pemain-pemain yang dipimpin oleh "danyang" memasuki gelanggang. Pemain-pemain akan menari menurut rentak dan irama lagu. Tiap-tiap penari akan menunggang atau memacu kuda anyaman(kuda kepang). Tarian yang kerap dipersembahkan dalam sesuatu majlis tarian kuda kepang ialah Tarian Solo, Tarian Selendang, Tarian Pucuk Rebung dan Tarian Kuda Kepang dinamakan "Lenggang Kiprah". Penari-penari menari sehingga mabuk atau tidak sedarkan diri selama 2 jam. Keadaan ini disebut sebagai "naik syeh".Mereka boleh melakukan perbuatan atau gerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat melompat-lompat setinggi 6 kaki dan sebagainya. Kadang-kadang pihak penganjur akan merentang kain licik untuk pemain menitinya.
Semasa penari dalam keadaan demikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak. Kononnya jika alunan muzik tidak rancak maka penari akan naik berang dan akan menerkam atau menendang pemain muzik. Kelakuan ini tidak ubah seperti kuda yang sedang berang. Jika keadaan bertambah liar, Tok Bomoh akan mengarahkan pengawal menangkap dan merebahkan mereka ke tanah, seterusnya dijampi. Penari-penari itu akan dipulihkan semula oleh Tok Bomoh dan kembali normal seperti biasa.
Menurut keterangan pemain yang mengalami kejadian seperti ini,ketika mabuk mereka bermimpi menunggang kuda sambil menari-nari dengan iringan muzik. Semakin lama bunyian itu sayup kedengaran. Kerana itulah mereka cuba mengejar muzik itu. Jelaslah tarian Kuda Kepang mempunyai semangat yang menjadi asas kepercayaan dan peminat mereka. Selain itu alat-lat kuda kepang mesti disimpan dengan baik kerana ditakuti akan dimarahi oleh 'rohnya'. Ini menunjukkan bahawa permainan kuda kepang mempunyai kepercayaan tersendiri.
Sepertimana cara perubatan tradisional, permainan kuda kepang juga tidak ketinggalan menyelitkan pengerasnya yang diserahkan kepada Tok Bomoh persembahan. Pengeras yang dimaksudkan ialah beberapa butir kemenyan, tempat bara untuk membakar kemenyan, air mentah secerek, nasi campur (nasi yang sudah bercampur lauk ayam dan sayur), kuih campur, serta yang utama sekali ialah wang sebanyak RM2.25 yang diserahkan oleh tuan rumah atau penganjur kepada Tok Bomoh persembahan. Bayaran untuk setiap persembahan atau pertunjukan kuda kepang adalah tidak kurang dari RM200 .

Wednesday, March 12, 2008

Hayatilah Khazanah Terindah Ini

Anak gajah mandi di sumur,
Ambil galah dalam perahu;
Orang muda jangan takbur,
Cubaan Allah siapa tahu.


Bakar damar di tangjung Palas,
Bilah juga akan suginya;
Saya benar serta ikhlas,
Allah juga akan saksinya.


Daun terup di atas dulang,
Anak udang mati dituba;
Dalam kitab ada terlarang,
Perbuatan haram jangan dicuba.

Dua tiga emapat lima,
Enam tujuh lapan sembilan;
Kita hidup tidakkan lama,
Jangan lupa siapkan bekalan.



Dua likur harinya Ahad,
Bulan mengambang atas angkasa;
Allah Yang Esa Yang Maha Melihat,
Tuhan Yang Adil Yang Maha Kuasa


Lancang melurut arah kuala,
Arus deras banyak berjeram;
Jangan diturut nafsu menyala,
Akhirnya nahas karam tenggelam.

Jom Dengar Muzik!

Sedari kecil lagi kita dibuai dan didodoi oleh ibu tersayang dengan dodoian dan lagu kasih sayang permata hatinya, tanpa lagu dan dodoian ibu si kecil susah nak tidur. Apabila kita masuk sekolah kita di ajar pula dengan lagu bek bek kambing hitam adakah bulu?, Apabila besar sedikit kita telah pandai menyanyi lagu negara ku. Setelah meningkat remaja mula menyanyikan lagu lagu cinta. Apabila mencecah usia emas, lagu lagi instrumental nostalgia menjadi pilihan. Jadi kehidupan kita akan merasa sunyi tanpa irama dan lagu. Terasa pincang jika irama dan lagu dipisahkan dalam rutin harian kehidupan. Apakah hukum memainkan alat muzik itu harus?. Apakah mendengar muzik dalam bentuk instumental tanpa nyanyian itu haram? Apa pula hukumnya mendengar muzik beserta nyanyian ? Bagaimana pula mendengar nyanyian bersilang jantina? Seterusnya kalau mendengar muzik dan nyanyian itu diharuskan apakah ia boleh dikira sebagai ibadah sehingga seorang yang mendengar muzik dan nyanyian akan mendapat ganjaran pahala? Pastinya sebagai sumber hukum dalam sebuah agama yang lengkap dan sesuai untuk semua tempat, orang dan zaman, Al Quran tidak mengabaikan walau sedikit pun urusan manusia. Pasti ada hukumnya. Begitu juga dengan mengenai persoalan persoalan diatas. Penulisan-penulisan fiqh klasik membahagiakan alat muzik kepada dua, yang bertali dan tidak bertali. Penggunaan alat muzik yang bertali dihukumkan haram yang tidak bertali pula sebagai harus. Namun demikian, kajian dan penulisan fiqh terkini tidak melihat kepada sudut jenis alat muzik, tetapi ia melihat kepada rentak dan irama yang dihasilkan oleh alat tersebut . Apakah ia meransang pendengarnya sehingga lalai, lupa diri dan lupa Allah?. Ataukah ia merangsang pendengarnya sehingga dapat menaikkan semangat patriotik, rasa sedar diri dan ketakwaan kepada Allah. Jenis yang pertama dikira haram dan kedua dikira harus. Jadinya hukum asal menggunakan alat muzik adalah harus, samada dipetikkah, dipukul kah, di gesek kah di tiupkah atau lainnya. Yang mengharam atau mengharuskannya ialah cara penggunaannya yang melahirkan rentak, lagu dan irama. Kadangkala alat muzik dimainkan dengan iringan penyanyi Dalam hubungan ini selain daripada bentuk rentak, lagu dan irama, cara persembahan penyanyi dan lirik nyanyian juga perlu dilihat sama. Sekiranya ia dipersembahkan dengan penampilan yang mengghairahlkan, meransang nafsu dan syahwat, sehingga lupa diri dan Allah,Ia tidak diharuskan. Begitu juga lirik lagu yang lucah, memuji sesuatu yang haram, mengagungkan syaitan dan syawat dan cinta berahi yang keterlauan, ungkapan ungkapan syirik dan kufur, lirik-lirik yang bercanggah dengan semangat syariat maka hukumnya haram. Mendengar muzik berlaku dalam berbagai bentuk, mendengar muzik tanpa nyanyian, mendengar muzik beserta nyanyian, mendengar sambil menonton penyanyi menyanyi. Hukum asal mendengar muzik tanpa nyanyian, mendengar muzik beserta nyanyian, mendengar sambil menonton penyanyi menyanyi adalah ‘harus’ tetapi ‘beryarat’. Syaratnya ialah rentak, irama, lagu dan liriknya tidak melalaikan, mengkhayalkan, membawa kepada lupa diri dan lupa Allah. Persembahan dan penampilan penyanyi juga mestilah menutup aurat dan geraknya tidak menghairahkan pendengar dan penonton. Selain dari sifat muzik, rentak, irama, lirik, cara dan perlakuan sipendengar ketika mendengar muzik juga akan menentukan hukum mendengar muzik. Keterlauan yang melampau, ketagih serta gian dalam mendengar muzik akan merubah hukum harus mendengar muzik kepada haram. Ia telah termasuk kepada perbuatan sia-sia dan boleh mendatangkan kesan kesan yang negatif. Pendengar akan tergoda, terbawa-bawa dan terfitnah dengan kemerduan suara penyanyi dan senikata serta lirik dan tergoda kepada batang tubuh penyanyi. Keadaan hukum ’harus’ mendengar muzik, nyanyian dan menonton persembahan penyanyi boleh di simpulkan seperti berikut: 1. Mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan yang rentak irama, lagu dan liriknya meransang semangat berani, gagah perkasa, patriotik contohnya rentak ‘march’. 2. Mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan yang rentak irama, lagu dan liriknya meniupkan rasa keinsfan, sedar diri, mengenang kebesaran Allah dan menuju ketakwaan kepada Allah. 3. Mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan yang rentak irama, lagu dan liriknya dapat menenang jiwa, menghilangkan tekanan perasan, mengenyahkan kebosanan serta mengembalikan kesegaran spiritual, jasadiah dan emosi . Jadi bolehkah mendengar muzik itu menjadi ibadah? Untuk semua perbuatan boleh di kira sebagi ibadah ia mestilah memenuhi syarat syarat berikut: 1. Perbuatan itu diterima syarak 2. Perbuatan itu dilakukan menurut tuntutan dan peraturan syarak 3. Perbutan itu dilakukan ikhlas kerana Allah 4. Perbuatan itu dilakukan oleh muslim Dalam konteks mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan dengan rentak, irama, lagu dan liriknya, selagi memenuhi empat syarat di atas ia boleh dikira sebagai ibadah dan mendapat pahala. Sekiranya ia tidak memenuhi syarat ini maka tidak lagi dianggap sebagai ibadah malah termasuk sebagai perbuatan yang sia sia dan dilarang disisi syarak.

Kecantikan adalah Hak Milik Setiap Insan

KECANTIKAN adalah sesuatu yang diinginkan oleh semua insan. Kecantikan mempunyai pelbagai tafsiran bergantung kepada individu. Helen Gurley Brown, dalam bukunya bertajuk “Action For Success” mengungkapkan kecantikan sebagai, “Beauty can’t amuse you, but brainwork- reading, writing, thinking - can”. Bagi seorang gadis remaja, kecantikan ialah ‘tubuh langsing, kulit putih gebu dan senyuman menawan’ manakala remaja lelaki pula melihat kecantikan dalam bentuk ‘tubuh gagah dan sasa’. Dalam mengungkapkan sifat Allah terhadap kecantikan dan keindahan, Rasulullah, bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Maha indah dan menyukai keindahan.” (Riwayat Muslim dan Tirmidzi). Apa pun pandangan kita, kecantikan tetap memiliki tempat dan kepentingan tersendiri, lebih-lebih lagi untuk remaja. Berikut beberapa panduan kecantikan yang perlu dimiliki oleh remaja jika ingin menjadi “insan cantik”:- l Bercita-cita tinggi dan mempunyai wawasan Pada usia muda, seorang remaja harus memiliki wawasan hidup. Anda mesti tahu arah dan matlamat yang ingin dicapai. l Tahu membezakan di antara yang baik dan buruk Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya di antara kami ada orang yang taat dan ada pula orang yang menyeleweng dari kebenaran. Barang siapa yang taat maka mereka itu benar-benar sudah memilih jalan yang lurus, adapun orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahanam.” (Surah Al-Jin:14-15) l Sayangkan diri, keluarga dan masyarakat Seorang remaja mesti sayangkan diri sendiri, sayangkan ibu bapa serta mengasihi setiap ahli keluarga. Mereka berusaha mengukuhkan hubungan kekeluargaan, menyayangi jiran dan ahli masyarakat. Mereka tidak derhaka terhadap ibu bapa dan keluarga atau menyakiti jiran dan masyarakat. Sabda Rasulullah, maksudnya: “Tidaklah sempurna iman salah seorang di antara kalian sehingga dia menyintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri.” l Berilmu pengetahuan dan bermaklumat Seorang remaja mesti mendapatkan sebanyak mungkin ilmu secara formal atau tidak formal. Ilmu akademik penting untuk masa depan kehidupan. Ilmu kerohanian untuk mencantikkan jiwa dan dalaman manakala ilmu pengurusan bagi mengurus diri. l Menjaga kesihatan fizikal, jiwa dan minda Kesihatan fizikal mesti dipelihara dengan memberikan hak sepatutnya kepada tubuh. Lakukan aktiviti yang menyihatkan badan. Makanlah makanan seimbang dan berkhasiat. Elakkan daripada mengambil sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan dan minda seperti rokok, arak dan dadah. Tubuh adalah amanah Allah. Untuk menyihatkan jiwa, amalkanlah zikrullah dan tingkatkan ibadat yang ditetapkan sebagai hamba Allah. Fizikal, jiwa dan minda yang sihat akan menyerlahkan kecantikan seseorang remaja. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, yang berkata, Rasulullah, bersabda, maksudnya: “Dua nikmat yang sering tidak diperhatikan oleh kebanyakan manusia, iaitu kesihatan dan waktu lapang." l Menghormati diri dan orang lain Hormatilah diri anda. Seseorang remaja mesti tahu menghormati diri dengan menjauhi tingkah laku yang boleh menyebabkan pihak lain hilang rasa hormat kepadanya. Jauhi kegiatan dan perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah diri. Hormatilah guru yang mendidik anda, rakan dalam pergaulan, warga emas, orang yang lebih tua dan mereka yang kurang bernasib baik, tanpa mengira bangsa dan agama. Abdullah Ibnu Umar, meriwayatkan bahawa seseorang sahabat bertanya kepada Rasulullah: "Islam bagaimanakah yang paling baik?” Nabi menjawab: "Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal atau yang tidak kamu kenal" l Berlaku adil Keadilan adalah salah satu ‘kecantikan’ yang mesti diamalkan oleh remaja. Ia merangkumi kehidupan harian. Seseorang remaja harus berlaku adil dalam pergaulan dan semasa membuat pertimbangan. Remaja yang adil dapat membezakan di antara yang baik dan buruk dengan jelas. Mereka dapat menunaikan hak diri dan makhluk lain dengan tepat. l Menjauhi maksiat Remaja cantik mesti menjauhkan diri daripada maksiat. Mereka takut kepada firman Allah, yang bermaksud: "Sudah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)." (Surah Ar-Rum: 41). l Faham hak dan tanggungjawab sebagai rakyat Sebagai remaja cantik, anda mestilah tahu keadaan semasa tanah air. Remaja mesti mengetahui sejarah kemerdekaan tanah airnya. Anda mestilah mensyukuri nikmat kemerdekaan dan tahu hak sebagai rakyat. l Mesra alam Alam semesta ciptaan Allah tidak saja didiami oleh manusia tetapi juga haiwan dan tumbuhan. Seseorang remaja yang menunaikan hak dengan memelihara alam dan menyayangi haiwan adalah remaja berakhlak mulia. Amalan ini akan diberikan ganjaran setimpal oleh Allah. l Prihatin dengan masalah sejagat. Remaja yang cantik akhlaknya berusaha mempelajari apa yang berlaku di luar negara untuk dijadikan iktibar. Sebagai remaja, kita mesti menunjukkan keprihatinan dengan pergolakan yang sedang menimpa umat Islam di seluruh dunia.

KITA DAN JATI DIRI

Apakah definisi sebenar perkataan JATI DIRI?. cuba fikirkan, bagaimanakah pula jati diri itu diukur?. Menurut Kamus Dewan, perkataan jati, sama dengan sejati yang membawa maksud asli, murni, tulen dan tidak bercampur. Apabila dikaitkan jati dengan sejenis tumbuhan, kita akan membayangkan sepohon pokok yang tegap, berakar tunjang yang menjunam ke dasar bumi, berbatang keras dan mahal. Tetapi, apabila kita kaitkan jati diri dengan insan, ia membawa maksud seorang manusia sempurna yang memiliki keseimbangan antara akli (fikiran), jasmani dan rohaninya. Persoalannya, apakah jenis sukatan atau neraca yang boleh kita gunakan bagi menilai seseorang itu memiliki jati diri atau tidak? Dalam konteks ini, penulis merujuk jati diri seorang manusia berdasarkan kepada apa yang sudah dinyatakan Allah, seperti yang terkandung dalam Kitab al-Quran. Di antara ciri-ciri atau sifat insan yang memiliki mutu jati diri ialah sebagaimana maksud firman Allah dalam Surah al-Mukminun, ayat 1 hingga 11. Dalam membangunkan kemanusiaan insan, agama Islam lebih memfokuskan kepada pembangunan dalaman manusia itu, iaitu rohnya. Sabda Rasulullah, yang bermaksud: “Sesungguhnya, dalam jasad manusia ada seketul darah, jika ia baik, maka seluruh jasad akan menjadi baik, sebaliknya jika ia rosak, seluruh jasad akan menjadi rosak”. Setiap manusia yang hidup di bumi Allah ini, sudah pasti tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai masalah. Sama ada masalah itu besar atau sebaliknya, bergantung kepada kemampuan seseorang individu menghadapinya. Islam membina dan membangunkan keyakinan insan melalui rangsangan dan galakan. Sabda baginda, yang bermaksud : “Setiap penyakit ada penawarnya”. Justeru, setiap masalah, akan ada jalan penyelesaiannya. Dalam proses penyelesaian masalah, Islam menyarankan kita agar memiliki nilai-nilai murni seperti sentiasa bersikap proaktif, berani berhadapan masalah, berfikiran positif, yakin bahawa setiap masalah itu memiliki hikmah di sebaliknya, sabar dan tenang agar tindakan yang diambil tepat dan berkesan. Di antara usaha dan ikhtiar yang dituntut oleh Islam, ialah menggalakkan kita sentiasa berdoa. Allah berfirman yang bermaksud : “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu, sesungguhnya orang yang menyombong diri daripada menyembah-Ku, akan masuk dalam neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.” (Surah al-Mukmin: 60). Ulama mentafsir ‘menyombong diri daripada menyembah-Ku’ sebagai tidak berdoa dan tidak beribadat kepada Allah. Berdoa adalah satu ibadah, sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Doa itu intinya ibadat.” Antara galakan dalam al-Quran supaya kita berdoa, adalah firman Allah, yang bermaksud: “Apabila hamba-Ku bertanya engkau mengenai zat-Ku, maka jawablah bahawa Aku amat hampir. Aku sentiasa menerima permohonan orang yang berdoa apabila mereka memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqara: 186). Doa juga adalah senjata orang beriman, tetapi sejauh manakah kita menggunakan senjata ini bagi menghadapi segala masalah yang menghantui diri kita?. Marilah kita bertanya kepada diri sendiri, mudah-mudahan jawapan itu nanti, akan menjadi permulaan bagi menggerakkan seluruh jasad untuk berfikir ke hadrat Ilahi. Tindakan sebegini akan dapat meredakan keresahan hati, seterusnya membuka pintu kepada penyelesaian masalah. Imam al-Ghazali dalam kitab ‘Mau‘izatul Mukminin’, menggariskan beberapa tatacara amalan berdoa seperti yang diajarkan oleh Rasulullah. Antara adab berdoa ialah: l Memilih waktu, masa dan tempat yang sesuai, malahan terbaik, seperti berdoa pada bulan Ramadan, pada hari Jumaat iaitu di antara dua khutbah, di waktu tengah malam, serta di Masjidil Haram di Makkah l Menghadapkan muka ke arah kiblat dan menadah kedua belah tangan tinggi-tinggi, dan menyapu tangan ke muka selepas selesai l Merendahkan suara antara perlahan dan kuat dan tidak melampaui, sehingga nada seperti orang bersajak dan bersyair l Berdoalah dengan penuh rasa rendah diri, khusyuk, mengharap dan berasa takut kalau-kalau doa tidak dimakbulkan l Hendaklah bersikap tetap diri dalam berdoa dan yakin bahawa doanya akan dimakbulkan Allah. l Berdoalah bersungguh-sungguh dan jangan sesekali berputus asa. Sebaik-baiknya, diulangi sehingga tiga kali. l Hendaklah dimulakan dan diakhiri dengan menyebut nama Allah dan puji-pujian kepada-Nya serta mengucapkan salam ke atas Rasulullah saw l Membersih dan menyucikan hati dengan banyak memohon ampun dan bertaubat sebelum berdoa. Mudah-mudahan dengan menghayati adab berdoa itu, segala permintaan kita diperkenankan Allah. Bagaimanakah sikap Rasulullah menghadapi semua cabaran dan ujian Allah? Di antara perkara yang dilakukan baginda ialah sentiasa berdoa, mengadu dan bermunajat kepada Allah. Dalam kehidupan seharian baginda, pelbagai doa menjadi amalan baginda, bermula dengan doa semasa bangun tidur sehinggalah kepada doa hendak tidur. Semua doa ini adalah warisan bernilai yang ditinggalkan baginda untuk diamalkan oleh umatnya, bagi membina jati diri. Ibu bapa, selain perlu membanyakkan amalan berdoa untuk kebaikan anak-anak, perlu juga mendidik mereka supaya menjadikan doa sebagai amalan rutin apabila memulakan sesuatu. Manakala guru dan pendidik yang berhadapan dengan pelbagai ragam serta kerenah pelajar dan remaja, sewajarnya banyak beristighfar dan berdoa untuk menggalakkan pelajar mereka yang lemah, khususnya dalam bahasa Inggeris, sains dan matematik, supaya mampu bersaing dan yakin dengan potensi diri. Guru-guru berperanan meyakinkan pelajar bahawa hanya dengan pertolongan dan janji Allah, usaha mereka yang bersungguh-sungguh akan dikabulkan Allah. Ajarilah pelajar supaya berdoa seperti berikut setiap kali ketika hendak mengulangkaji pelajaran, iaitu: “Ya Allah, permudahkan, jangan menyusahkan” atau “Ya Allah, tidak ada sesuatu yang mudah, kecuali Engkau memudahkannya, oleh itu, mudahkan segala urusan kami”, Mudah-mudahan, dengan amalan berdoa, akan membentuk generasi yang cemerlang pada masa hadapan. Sesungguhnya, amalan berdoa mengikut adab dan tatacaranya, mampu membina jati diri insan. Antara manfaat berdoa itu ialah: l Meningkatkan lagi keyakinan terhadap pertolongan, rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. l Mengelakkan diri daripada cepat berputus asa dan menyerah kalah. l Membina keyakinan diri. l Tabah dan sabar menghadapi cabaran hidup. l Membina semangat juang dan daya saing yang tinggi. l Membentuk disiplin diri. l Mendidik dan melatih diri supaya sentiasa berusaha dan berikhtiar. l Menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan keji dan lain-lain lagi. Justeru, banyak faedah yang diperolehi dengan mengamalkan doa dalam kehidupan kerana amalan itu menjadikan manusia sentiasa berhubung rapat dengan pencipta, sedar dan insaf mengenai kekuasaan dan kebesaran Allah, di samping akur dengan kelemahan diri sendiri. Keyakinan terhadap Kekuasaan Allah dan akur akan kelemahan diri, mampu membentuk manusia menjadi tidak sombong dan bongkak ketika berada di kemuncak kejayaan, dan tidak mudah berasa kecewa apabila menemui kegagalan. Inilah ciri-ciri manusia yang memiliki jati diri. Oleh itu, amalkanlah doa dalam kehidupan bagi memiliki sifat jati diri itu.